Puasa 2021/Ramadhan 1442 - Jom Belajar Bab Puasa (part 1)
Ramadhan 1442
Bulan Ramadhan kini semakin menghampiri kita. Aura-auranya pun sudah dapat dirasai walaupun sekarang musim covid-19+pkp.
Sebelum tibanya Ramadhan, apakata kita ulangkaji sedikit bab puasa ini. Mungkin ada dikalangan kita yang sudah lupa akan rukun puasa, niat puasa, doa berbuka puasa, perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Oleh itu, marilah sama-sama kita belajar dan menimba ilmu.
PENGERTIAN PUASA
-
Dari Segi Bahasa : Puasa bererti menahan diri daripada sesuatu.
- Dari segi Syarak/Istilah : Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dimulakan dengan niat berpuasa, kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT.
Berpuasa pada bulan Ramadhan hukumnya wajib (fardhu ain) berdasarkan al-Quran, al-Hadis dan ijmak ulama.
PUASA WAJIB LAIN
-
Jenis-jenis puasa lain yang wajib ialah puasa nazar (puasa yang diniatkan untuk dilakukan kerana terkabulnya sesuatu hajat seperti menang dalam perbicaraan atau berjaya dalam peperiksaan).
-
Puasa kifarat/sebenarnya dalam bahasa Arab disebut Kaffarah(puasa dalam erti kata membayar denda kerana melanggar syarat-syarat berpuasa seperti bersetubuh dengan isteri lada waktu siang bulang Ramadhan. Puasa kifarat di sini ialah berpuasa selama 60 hari berturut-turut).
DALIL AL-QURAN TENTANG PUASA :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : Wahai orang yang beriman, diwajibkan atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu semoga kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah : 183)
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya : Pada bulan Ramadhan, diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada hidayah serta pembeza antara yang hak dan yang batil maka sesiapa yang melihat bulan Ramadhan hendaklah ia berpuasa. (Surah al-Baqarah : 185)
DALIL AL-HADIS TENTANG PUASA :
بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ. [رواه الترمذي ومسلم ]
Maksudnya : "Diasaskan Islam atas lima dasar : iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad SAW utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Muslim)
IJMAK :
Umat islam telah ijmak(bersepakat) atau sekata atas wajibnya puasa Ramadhan lantaran ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan telah termaklum kewajipannya dalam agama. Mengingkari kefardhuannya adalah kafir dan terkeluar daripada Islam.
"Puasa Ramadhan mula diwajibkan pada hari Isnin dua haribulan Syaaban tahun kedua Hijrah."
SYARAT WAJIB PUASA
-
Islam - Puasa tidak wajib kepada yang bukan Islam.
- Baligh - Tidak diwajibkan berpuasa kepada mereka yang belum baligh atau belum cukup umur. Namun digalakkan latihan berpuasa kepada kanak-kanak.
- Berakal - Orang gila tidak diwajibkan berpuasa.
- Sihat - Orang yang sakit/uzur yang akan bertambah sakit jika berdaya berpuasa atau orang yang terlalu tua tidak diwajibkan berpuasa tapi diwajibkan fidyah.
- Bermukim - Musafir tidak wajib berpuasa tetapi wajib mengqada (menggantikan) puasa selepas bulan Ramadhan.
- Suci - Suci daripada haid dan nifas bagi wanita.
SYARAT SAH PUASA
-
Islam
- Berakal dan Mumayyiz (tahu membezakan yang mana najis dan yang mana tidak).
- Suci daripada haid dan nifas.
- Apabila nyata masuknya bulan Ramadhan.
NIAT PUASA
Mereka yang ingin berpuasa diwajibkan berniat di dalam hati pada setiap malam. Tempohnya bermula sesudah tenggelam matahari sehinggalah terbit fajar.
- Lafaz niat puasa yang lengkap :
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."
Lafaz Niat Puasa
- Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan :
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : "Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."
Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.
Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haid, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut.
RUKUN-RUKUN PUASA
-
Orang yang puasa
- Berniat (seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini).
- Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA- Makan atau minum dengan sengaja meskipun sedikit (jika terlupa tidak membatalkan puasa tetapi wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa).
- Memasukkan dengan sengaja sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka.
- Muntah dengan sengaja.
- Keluar haid dan nifas.
- Gila.
- Murtad (keluar daripada islam)
- Mengeluarkan mani dengan sengaja.
- Bersetubuh (melakukan hubungan kelamin pada siang hari bulan Ramadhan).
PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA BERPUASA- Menyegerakan berbuka puasa.
- Berbuka puasa dengan buah tamar atau juadah manis yang lain.
- Membaca doa berbuka puasa sekurang-kurangnya :
اَللّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
"Allahumma lakasumtu wabika aamantu wa'alaa rizqika afthartu"
Maksudnya : "Ya Allah, bagi Engkaulah amalan puasaku ini, kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka."
Doa Berbuka Puasa
- Melambatkan sahur kerana ada padanya berkat.
-
Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan membuat amal kebajikan.
-
Sentiasa bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yang kurang bernasib baik.
-
Menjauhkan percakapan yang sia-sia dan perbuatan yang tidak membawa manfaat.
-
Mandi junub lebih awal, sebelum masuknya waktu subuh.
PERKARA-PERKARA MAKRUH KETIKA BERPUASA
Perkara-perkara makruh dilakukan ketika berpuasa ialah bersuntik, berbekam, berkumur-kumur, memasukkkan air ke dalam rongga hidung secara berlebihan, mandi yang berlebihan begitu juga merasa makanan di hujung lidah.
Alhamdulillah semoga bermanfaat! Silakan share atau copy.
Sumber : Buku Indahnya Hidup Bersyariat Oleh Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab.Hamid