Memaparkan catatan dengan label Belajar Bab Puasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Belajar Bab Puasa. Papar semua catatan

Februari 20, 2021

Puasa 2021 - Jom Belajar Bab Puasa (part 2) @siskongsi

Puasa 2021-Jom Belajar Bab Puasa (Part2) @siskongsi

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


A. TINGKATAN PUASA

Imam al-Ghazali membahagikan kepada tiga tingkat : 


  • PUASA UMUM 

Puasa kebanyakan umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan keinginan berjimak.


  • PUASA ISTIMEWA

(Puasa Khusus) Puasa yang dapat memelihara mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan dosa selain menahan diri daripada perkara-perkara di atas.


  •  PUASA PALING ISTIMEWA

(Puasa Khusus al-Khusus) Merangkumi puasa umum dan puasa istimewa. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan lahir dan batin. Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT dan merupakan amalan puasa para rasul, nabi, para sahabat, para wali dan golongan ahli ibadah lain.


B. MEREKA YANG DIBENAR MENINGGALKAN PUASA

  1. Orang yang hilang daya upaya untuk berpuasa seperti sakit perut dan sakit kepala yang serius serta jenis-jenis penyakit yang apabila berpuasa akan menambahkan keuzuran. 
  2. Orang musafir dalam perjalanan yang membolehkan qasar(memendekkan rakaat) solat.
  3. Orang yang terlalu tua dan amat lemah untuk berpuasa.
  4. Orang yang tersangat lapar dan dahaga sehingga  kalau diteruskan akan mendatangkan mudarat umpamanya ia bekerja berat di tengah atau sebagainya.
  5. Perempuan hamil atau menyusukan anaknya yang apabila berpuasa boleh memudaratkan diri sendiri atau anak yang disusui itu.



C. QADA DAN FIDYAH PUASA

Hukum qada puasa atau menggantikan puasa Ramadhan ini perlu dibuat mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan.


D. GOLONGAN YANG WAJIB QADA PUASA

  1. Orang sakit yang ada harapan sembuh.
  2. Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
  3. Orang yang kedatangan haid dan nifas.
  4. Orang yang meninggalkan puasa.
  5. Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
  6. Orang yang pitam/mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
  7. Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa Ramadhan.
Fidyah Puasa



E. MEREKA YANG DIKENAKAN MEMBAYAR FIDYAH PUASA ANTARANYA TERMASUKLAH :

  1. Mereka yang tidak dapat mengqada puasa sehingga masuk Ramadhan kali kedua (Fidyahnya 1 cupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan di samping mengqada puasa) bagi setahun tertinggal. Kalau tidak diqada sehingga melampaui 2 tahun maka dikenakan 2 cupak tetapi puasa tetap juga 1 hari(tiada tambahan)
  2. Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.
  3. Orang yang terlalu tua dan tidak terdaya berpuasa. 
  4. Orang yang ada qada puasa tetapi meninggal dunia. Sebelum sempat berbuat demikian. (Fidyah dibuat oleh kerabat si mati atau diambil daripada harta pusakanya).
  5. Perempuan yang mengandung dan perempuan yang menyusukan anaknya perlu mengqada puasa dan membayar fidyah secupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkan sekiranya dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan anaknya, tetapi sekiranya dia takut mudarat pada dirinya dia hanya wajib mengqada puasanya. 


F. KIFARAT BERSETUBUH DI BULAN RAMADHAN

Orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka kedua-dua suami isteri tersebut perlu mengqada puasa berkenaan dan suami wajib membayar kifarat(denda) seperti : 

  1. Memerdekakan seorang hamba Mukmin lelaki atau perempuan, (sekiranya tidak mampu)
  2. Berpuasa dua bulan berturut-turut tanpa terputus(kalau tidak berdaya)
  3. Memberi makan kepada 60  kafir/miskin.

Bagaimanapun jika persetubuhan itu dilakukan kerana terlupa, jahil tentang haramnya atau dipaksa ke atasnya tidaklah wajib kifarat.


G. PUASA HARAM

  1. Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal.
  2. Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah.
  3. Tiga hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
  4. Hari Syak iaitu hari yang diragui antara 30  Syaaban atau sudah masuk 1 Ramadhan.


H. PUASA SUNAT

  1. Puasa sunat enam hari (puasa enam) pada bulan Syawal khususnya selepas Aidilfitri (berturut-turut enam hari adalah lebih afdal).
  2. Hari isnin dan Khamis setiap minggu.
  3. Puasa hari Asyura (10 Muharam).
  4. Puasa 9 Zulhijjah (sempena wuquf di Arafah) bagi orang yang tidak mengerjakan haji pada tahun itu.
  5. Puasa hari 13, 14, dan 1t setiap bulan.
  6. Puasa hari 28, 29, dan 30 setiap bulan.
  7. Puasa Nisfu Syaaban (15 Syaaban).


I. PUASA MAKRUH

  1. Puasa hari jumaat secara berasingan. Contohnya, tidak didahului oleh puasa hari Khamis sebelumnya atau Sabtu sesudahnya.
  2. Puasa 15 sehingga 30 Syaaban bagi bukan qada atau puasa sunat yang tidak pernah dilakukan sebelum 15 Syaaban tiba-tiba sampai 15, 16, 17 dan seterusnya ia ingin berpuasa sunat.
  3. Berpuasa terus menerus sepanjang tahun.


J. PERMASALAHAN PUASA

  1. Perempuan yang ingin berpuasa sunat perlulah meminta izin daripada suaminya terlebih dahulu.
  2. Jika isteri yang sedang berpuasa sunat diminta memenuhi kehendak syahwat suaminya perlulah ia menghentikan puasa tersebut kerana mematuhi kehendakbdan perintah suami adalah wajib.
  3. Persetubuhan pada waktu mengerjakan puasa sunat tidak perlu kepada penggantian puasa dan kifarat(denda) sebaimana puasa pada bulan Ramadhan.

K. ADAB-ADAB BERPUASA

  1. Menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat, memfitnah, mengeji, mencela serta mengeluarkan kata-kata kesat.
  2. Mengelakkan dan menjauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
  3. Menahan diri daripada mengikut kehendak nafsu.
  4. Bersederhana ketika berbuka dan makan sahur atau dalam erti kata lain mengambil makanan dalam kuantiti yang sederhana.
  5. Mengurangkan tidur terutamanya pada waktu siang. 
  6. Hendaklah sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca al-Quran dan berzikir.
  7. Berazam untuk menjadikan ibadat puasa yang dilakukan itu merupakan sebaik-baik ibadat dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
  8. Sentiasa berfikir hikmah di sebalik melakukan ibadat puasa.

Semoga Bermanfaat!😊

Sumber : Buku Indahnya Hidup Bersyariat Oleh Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab.Hamid

Februari 18, 2021

Puasa 2021 - Jom Belajar Bab Puasa (part 1) @siskongsi

 

Puasa 2021/Ramadhan 1442 - Jom Belajar Bab Puasa (part 1)

Ramadhan 1442


Bulan Ramadhan kini semakin menghampiri kita. Aura-auranya pun sudah dapat dirasai walaupun sekarang musim covid-19+pkp.

Sebelum tibanya Ramadhan, apakata kita ulangkaji sedikit bab puasa ini. Mungkin ada dikalangan kita yang sudah lupa akan rukun puasa, niat puasa, doa berbuka puasa, perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya. Oleh itu, marilah sama-sama kita belajar dan menimba ilmu. 


PENGERTIAN PUASA

  • Dari Segi Bahasa : Puasa bererti menahan diri daripada sesuatu.
  • Dari segi Syarak/Istilah : Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dimulakan dengan niat berpuasa, kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Berpuasa pada bulan Ramadhan hukumnya wajib (fardhu ain) berdasarkan al-Quran, al-Hadis dan ijmak ulama.


PUASA WAJIB LAIN


  1. Jenis-jenis puasa lain yang wajib ialah puasa nazar (puasa yang diniatkan untuk dilakukan kerana terkabulnya sesuatu hajat seperti menang dalam perbicaraan atau berjaya dalam peperiksaan).
  2. Puasa kifarat/sebenarnya dalam bahasa Arab disebut Kaffarah(puasa dalam erti kata membayar denda kerana melanggar syarat-syarat berpuasa seperti bersetubuh dengan isteri lada waktu siang bulang Ramadhan. Puasa kifarat di sini ialah berpuasa selama 60 hari berturut-turut).

 

DALIL AL-QURAN TENTANG PUASA :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : Wahai orang yang beriman, diwajibkan atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu semoga kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah : 183)

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya : Pada bulan Ramadhan, diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada hidayah serta pembeza antara yang hak dan yang batil maka sesiapa yang melihat bulan Ramadhan hendaklah ia berpuasa. (Surah al-Baqarah : 185)


DALIL AL-HADIS TENTANG PUASA :

بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ : شَهَادَةُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامُ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءُ الزَّكَاةِ وَحَجُّ الْبَيْتِ وَصَوْمُ رَمَضَانَ. [رواه الترمذي ومسلم ]

Maksudnya : "Diasaskan Islam atas lima dasar : iaitu mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad SAW utusan Allah, mendirikan solat, membayar zakat, haji dan berpuasa pada bulan Ramadhan." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Muslim)


IJMAK :

Umat islam telah ijmak(bersepakat) atau sekata atas wajibnya puasa Ramadhan lantaran ia merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan telah termaklum kewajipannya dalam agama. Mengingkari kefardhuannya adalah kafir dan terkeluar daripada Islam.

"Puasa Ramadhan mula diwajibkan pada hari Isnin dua haribulan Syaaban tahun kedua Hijrah."


SYARAT WAJIB PUASA

  1. Islam - Puasa tidak wajib kepada yang bukan Islam.
  2. Baligh - Tidak diwajibkan berpuasa kepada mereka yang belum baligh atau belum cukup umur. Namun digalakkan latihan berpuasa kepada kanak-kanak.
  3. Berakal - Orang gila tidak diwajibkan berpuasa.
  4. Sihat - Orang yang sakit/uzur yang akan bertambah sakit jika berdaya berpuasa atau orang yang terlalu tua tidak diwajibkan berpuasa tapi diwajibkan fidyah.
  5. Bermukim - Musafir tidak wajib berpuasa tetapi wajib mengqada (menggantikan) puasa selepas bulan Ramadhan.
  6. Suci - Suci daripada haid dan nifas bagi wanita.

SYARAT SAH PUASA

  1. Islam
  2. Berakal dan Mumayyiz (tahu membezakan yang mana najis dan yang mana tidak).
  3. Suci daripada haid dan nifas.
  4. Apabila nyata masuknya bulan Ramadhan.

NIAT PUASA

Mereka yang ingin berpuasa diwajibkan berniat di dalam hati pada setiap malam. Tempohnya bermula sesudah tenggelam matahari sehinggalah terbit fajar.

  • Lafaz niat puasa yang lengkap :

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : "Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

Lafaz Niat Puasa


  • Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan :

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya : "Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala."

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haid, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut.


RUKUN-RUKUN PUASA

  1. Orang yang puasa
  2. Berniat (seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini).
  3. Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

  1. Makan atau minum dengan sengaja meskipun sedikit (jika terlupa tidak membatalkan puasa tetapi wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa).
  2. Memasukkan dengan sengaja sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka.
  3. Muntah dengan sengaja.
  4. Keluar haid dan nifas.
  5. Gila.
  6. Murtad (keluar daripada islam)
  7. Mengeluarkan mani dengan sengaja.
  8. Bersetubuh (melakukan hubungan kelamin pada siang hari bulan Ramadhan).

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA BERPUASA

  • Menyegerakan berbuka puasa.
  • Berbuka puasa dengan buah tamar atau juadah manis yang lain.
  • Membaca doa berbuka puasa sekurang-kurangnya :

اَللّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ

"Allahumma lakasumtu wabika aamantu wa'alaa rizqika afthartu"

Maksudnya : "Ya Allah, bagi Engkaulah amalan puasaku ini, kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka."

Doa Berbuka Puasa 


  • Melambatkan sahur kerana ada padanya berkat.
  • Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, berselawat dan membuat amal kebajikan.
  • Sentiasa bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yang kurang bernasib baik.
  • Menjauhkan percakapan yang sia-sia dan perbuatan yang tidak membawa manfaat.
  • Mandi junub lebih awal, sebelum masuknya waktu subuh.

PERKARA-PERKARA MAKRUH KETIKA BERPUASA

Perkara-perkara makruh dilakukan ketika berpuasa ialah bersuntik, berbekam, berkumur-kumur, memasukkkan air ke dalam rongga hidung secara berlebihan, mandi yang berlebihan begitu juga merasa makanan di hujung lidah.

Alhamdulillah semoga bermanfaat! Silakan share atau copy. 


Sumber : Buku Indahnya Hidup Bersyariat Oleh Dato' Ismail Kamus & Mohd. Azrul Azlen Ab.Hamid

Kenali Statis Eczema, Cara Merawat Eczema @siskongsi

Apa itu statis eczema dan yang berisiko menghidapi penyakit statis eczema.  Assalamualaikum Guys! Hari ini sis akan share tentang Statis Ecz...