Puasa 2021-Jom Belajar Bab Puasa (Part2) @siskongsi
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
A. TINGKATAN PUASA
Imam al-Ghazali membahagikan kepada tiga tingkat :
- PUASA UMUM
Puasa kebanyakan umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan keinginan berjimak.
- PUASA ISTIMEWA
(Puasa Khusus) Puasa yang dapat memelihara mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan dosa selain menahan diri daripada perkara-perkara di atas.
- PUASA PALING ISTIMEWA
(Puasa Khusus al-Khusus) Merangkumi puasa umum dan puasa istimewa. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan lahir dan batin. Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT dan merupakan amalan puasa para rasul, nabi, para sahabat, para wali dan golongan ahli ibadah lain.
B. MEREKA YANG DIBENAR MENINGGALKAN PUASA
- Orang yang hilang daya upaya untuk berpuasa seperti sakit perut dan sakit kepala yang serius serta jenis-jenis penyakit yang apabila berpuasa akan menambahkan keuzuran.
- Orang musafir dalam perjalanan yang membolehkan qasar(memendekkan rakaat) solat.
- Orang yang terlalu tua dan amat lemah untuk berpuasa.
- Orang yang tersangat lapar dan dahaga sehingga kalau diteruskan akan mendatangkan mudarat umpamanya ia bekerja berat di tengah atau sebagainya.
- Perempuan hamil atau menyusukan anaknya yang apabila berpuasa boleh memudaratkan diri sendiri atau anak yang disusui itu.
C. QADA DAN FIDYAH PUASA
Hukum qada puasa atau menggantikan puasa Ramadhan ini perlu dibuat mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan.
D. GOLONGAN YANG WAJIB QADA PUASA
- Orang sakit yang ada harapan sembuh.
- Orang yang bermusafir (bukan kerana maksiat) melebihi dua marhalah.
- Orang yang kedatangan haid dan nifas.
- Orang yang meninggalkan puasa.
- Orang yang sengaja melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
- Orang yang pitam/mabuk sewaktu bulan Ramadhan.
- Orang yang sangat lapar dan dahaga yang tidak membolehkannya berpuasa Ramadhan.
E. MEREKA YANG DIKENAKAN MEMBAYAR FIDYAH PUASA ANTARANYA TERMASUKLAH :
- Mereka yang tidak dapat mengqada puasa sehingga masuk Ramadhan kali kedua (Fidyahnya 1 cupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan di samping mengqada puasa) bagi setahun tertinggal. Kalau tidak diqada sehingga melampaui 2 tahun maka dikenakan 2 cupak tetapi puasa tetap juga 1 hari(tiada tambahan)
- Orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.
- Orang yang terlalu tua dan tidak terdaya berpuasa.
- Orang yang ada qada puasa tetapi meninggal dunia. Sebelum sempat berbuat demikian. (Fidyah dibuat oleh kerabat si mati atau diambil daripada harta pusakanya).
- Perempuan yang mengandung dan perempuan yang menyusukan anaknya perlu mengqada puasa dan membayar fidyah secupak beras bagi setiap hari yang ditinggalkan sekiranya dia meninggalkan puasa kerana bimbangkan anaknya, tetapi sekiranya dia takut mudarat pada dirinya dia hanya wajib mengqada puasanya.
F. KIFARAT BERSETUBUH DI BULAN RAMADHAN
Orang yang bersetubuh pada siang hari bulan Ramadhan, maka kedua-dua suami isteri tersebut perlu mengqada puasa berkenaan dan suami wajib membayar kifarat(denda) seperti :
- Memerdekakan seorang hamba Mukmin lelaki atau perempuan, (sekiranya tidak mampu)
- Berpuasa dua bulan berturut-turut tanpa terputus(kalau tidak berdaya)
- Memberi makan kepada 60 kafir/miskin.
Bagaimanapun jika persetubuhan itu dilakukan kerana terlupa, jahil tentang haramnya atau dipaksa ke atasnya tidaklah wajib kifarat.
G. PUASA HARAM
- Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal.
- Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah.
- Tiga hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
- Hari Syak iaitu hari yang diragui antara 30 Syaaban atau sudah masuk 1 Ramadhan.
H. PUASA SUNAT
- Puasa sunat enam hari (puasa enam) pada bulan Syawal khususnya selepas Aidilfitri (berturut-turut enam hari adalah lebih afdal).
- Hari isnin dan Khamis setiap minggu.
- Puasa hari Asyura (10 Muharam).
- Puasa 9 Zulhijjah (sempena wuquf di Arafah) bagi orang yang tidak mengerjakan haji pada tahun itu.
- Puasa hari 13, 14, dan 1t setiap bulan.
- Puasa hari 28, 29, dan 30 setiap bulan.
- Puasa Nisfu Syaaban (15 Syaaban).
I. PUASA MAKRUH
- Puasa hari jumaat secara berasingan. Contohnya, tidak didahului oleh puasa hari Khamis sebelumnya atau Sabtu sesudahnya.
- Puasa 15 sehingga 30 Syaaban bagi bukan qada atau puasa sunat yang tidak pernah dilakukan sebelum 15 Syaaban tiba-tiba sampai 15, 16, 17 dan seterusnya ia ingin berpuasa sunat.
- Berpuasa terus menerus sepanjang tahun.
J. PERMASALAHAN PUASA
- Perempuan yang ingin berpuasa sunat perlulah meminta izin daripada suaminya terlebih dahulu.
- Jika isteri yang sedang berpuasa sunat diminta memenuhi kehendak syahwat suaminya perlulah ia menghentikan puasa tersebut kerana mematuhi kehendakbdan perintah suami adalah wajib.
- Persetubuhan pada waktu mengerjakan puasa sunat tidak perlu kepada penggantian puasa dan kifarat(denda) sebaimana puasa pada bulan Ramadhan.
K. ADAB-ADAB BERPUASA
- Menjauhkan diri daripada perkara-perkara maksiat seperti mengumpat, memfitnah, mengeji, mencela serta mengeluarkan kata-kata kesat.
- Mengelakkan dan menjauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
- Menahan diri daripada mengikut kehendak nafsu.
- Bersederhana ketika berbuka dan makan sahur atau dalam erti kata lain mengambil makanan dalam kuantiti yang sederhana.
- Mengurangkan tidur terutamanya pada waktu siang.
- Hendaklah sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca al-Quran dan berzikir.
- Berazam untuk menjadikan ibadat puasa yang dilakukan itu merupakan sebaik-baik ibadat dan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
- Sentiasa berfikir hikmah di sebalik melakukan ibadat puasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen adalah tanggungjawab anda. Oleh itu, sila komen yang baik-baik. Semoga bermanfaat buat semua🎈❤